Minggu ini ada seorang kakak yang datang ke klinik setelah mengadu sakit telinga sebelah kanan dan gatal-gatal selama seminggu.
Menurut beliau, sakit dan gatal bertambah teruk semenjak dua hari yang lalu sebelum datang ke klinik, dan beliau perasan apabila cuba korek telinga dengan putik kapas (cotton buds) ada cecair kuning yang berbau keluar. Beliau juga ada sedikit demam, namun tiada gejala batuk dan selesema.
Apabila pemeriksaan dijalankan, didapati bahawa beliau mengidap jangkitan kulat di dalam telinga kanan beliau.
Ini dibuktikan dengan pemeriksaan otoscope, yang mana kita dapat lihat ada spora kulat (fungal spores) berwarna hitam dan berbintik bintik. Saluran telinga beliau juga dipenuhi oleh cecair (discharge) akibat reaksi kulit dalam telinga kepada jangkitan kulat tersebut.

Kulit juga kelihatan merah meradang (inflammed), namun gegendang telinga tidak bocor. Ini menunjukkan yang jangkitan tersebut hanya berlaku di telinga luar dan tidak melibatkan telinga tengah.

Untuk kes begini, telinga beliau perlu dicuci (ear syringe) dengan air supaya semua kulat spora dapat dikeluarkan dan ubat titis telinga akan diberikan untuk membunuh saki-baki jangkitan yang ada.
Ubat tahan sakit dan anti-inflamasi juga akan diberikan untuk mempercepatkan proses penyembuhan.