Masalah tak boleh tidur malam. Apa yang boleh saya lakukan doc?

Saya selalu dilawati oleh pesakit yang mengadu tak boleh tidur malam. Kadang-kadang diorang ni tak boleh tidur hingga beberapa minggu.

Mereka mengadu susah nak tidur, walaupun badan rasa penat. Mata tak nak lelap. Otak masih berjalan. Bila dah nak pagi (selalunya dah pukul 5) baru mata nak terlelap. Tapi masalahnya pukul 6 pagi dah nak kena bangun untuk urus anak ke sekolah dan sendiri pergi kerja.

Bila mereka boleh tidur pulak, tengah malam terbangun jam 2 pagi. Otak masih lagi berjalan. Lepas tu tak boleh tidur sampai pagi.

Tak boleh tidur malam

Mereka yang hadapi masalah tidur begini selalunya akan mengadu waktu siang di tempat kerja rasa mengantuk. Rasa penat dan tak dapat fokus pada kerja. Kadang-kadang cepat marah. Kadang-kadang pening atau sakit kepala.

Bila mereka datang dengan masalah sebegini, soalan pertama yang selalu saya tanya ialah: Apakah yang otak kamu fikirkan pada waktu tak boleh tidur tu?

Ini kerana, apabila otak mereka berkerja lebih masa dengan banyak benda yang difikirkan, ia akan menyebabkan otak tak boleh “shutdown“. Mereka selalunya memikirkan masalah-masalah yang biasa berlaku dalam hidup mereka – seperti konflik di dalam perhubungan, konflik dalam keluarga, tekanan di tempat kerja, kehilangan orang yang tersayang, psikologi yang tidak stabil atau masalah kesihatan yang serius.

Walaupun badan mereka letih, otak masih lagi tidak berhenti memikirkan perkara-perkara tersebut. Ketidaktentuan masa depan diri sendiri (seperti ramai pengidap kanser) dan kehilangan orang yang mereka sayang adalah yang paling kerap mereka fikirkan sehingga tidak dapat tidur.

Bila mereka datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan, mereka selalu minta untuk diberikan ubat tidur. Ubat tidur memang boleh diberi untuk memudahkan tidur, tetapi saya amat tidak galakkan mereka bergantung dengan ubat tidur, kerana ia bukan solusi tyang bagus untuk masalah insomnia mereka. Ubat tidur hanyalah solusi sementara sahaja.

Jalan terbaik ialah dengan menasihatkan mereka mengenalpasti apakah yang penyebab utama mereka berfikir terlalu banyak, terutama sekali pada waktu malam. Cuba cari penyelesaian untuk masalah yang dihadapi dengan bantuan mereka yang bertauliah dan berpengalaman. Cuba kurangkan stress dan banyakkan bermeditasi mengikut kepercayaan sendiri.

Bila masalah yang dihadapi dapat mereka selesaikan, selalunya otak akan menjadi lebih tenang dan kurang berfikir. Bila kurang berfikir, ia akan memudahkan untuk otak “shutdown” pada waktu malam dan mereka akan dapat tidur dengan mudah.

Selain daripada menyelesaikan masalah yang dihadapi, bersukan pada waktu petang juga adalah bagus. Luangkan masa 30-45 minit pada waktu petang untuk melakukan senaman atau berjogging. Keluarkan peluh dan penatkan diri dengan aktiviti sukan. Ia akan menyebabkan badan betul-betul penat dan akan memudahkan untuk kita tidur pada waktu malam.

Jangan minum minuman berkafein pada waktu petang kerana ia boleh menyebabkan otak kembali aktif dan boleh menyukarkan untuk tidur pada waktu malam. Kurangkan juga melihat gajet dan telefon pintar pada waktu malam, kerana ia boleh mengganggu ketenangan fikiran.

Untuk mereka beragama Islam, membaca zikir atau Al-Quran pada waktu malam sebelum tidur boleh menenangkan fikiran sekaligus memudahkan untuk kita tidur.

Jika masalah insomnia mereka ini berterusan, walaupun masalah yang difikirkan telah selesai dan ubat pun telah dimakan, ada kemungkinan mereka perlu dirujuk dengan pakar psikiatri untuk mencari penyelesaian.