SELAM SKUBA DAN “PANIC ATTACK”. Saya boleh diving ka doc?

Hari ini saya didatangi pelajar perempuan berumur 16 tahun yang ingin betul scuba diving bersama kawan-kawannya. Rachel (bukan nama sebenar) datang ke Sabah dari Eropah dengan sekumpulan pelajar yang menghabiskan masa “summer camp” mereka di sini.

Rachel telah mengalami keadaan “panic attack” dua kali dalam tempoh dua minggu beliau berada di Sabah. Antara pencetus (trigger) “panic attack” beliau di sini ialah pada ketika beliau berada di dalam sekumpulan orang-orang kampung yang meraikan keramaian. Bunyi bising dan hingar-bingar telah menyebabkan beliau diserang rasa berdebar-debar, pening, rasa ingin muntah dan pitam. Beliau juga tidak dapat bernafas dengan teratur. Gejala ini berlaku lebih kurang 5-10 minit.

Syukurlah apabila beliau memberitahu guru pengiring, beliau berjaya ditenangkan dengan membetulkan balik pernafasan dan beredar ke tempat yang lebih senyap dan selesa. Oleh kerana gejala serupa berlaku dua kali dalam tempoh terdekat, adalah penting untuk kita tahu risiko yang mungkin berlaku sekiranya beliau dibenarkan untuk menyelam skuba.

Antara faktor yang perlu diambil kira sewaktu menyelam ialah:

1. Ia adalah aktiviti sukan air yang memerlukan kita mempunyai kesihatan yang bagus. Jika kita mudah panik, banyak faktor yang boleh mencetuskan panik terutamanya sewaktu menyelam di dalam air. Persekitaran yang berbeza dengan cara pernafasan yang berbeza akan menyebabkan kita tidak dapat memberikan fokus yang baik untuk terus tenang di dalam air, sekiranya ada faktor luaran yang mengganggu konsentrasi kita.

2. Berada di dalam air bermakna anda berada di bawah tekanan – tekanan dari air laut ke atas permukaan tubuh badan, tekanan dari udara yang disedut ke dalam paru-paru dari tangki udara yang dimampatkan, dan tekanan dari keadaan sekitar yang jauh berbeza dari daratan. Ini boleh menyebabkan kita panik, sekiranya keadaan bertekanan tinggi ini tiba-tiba berubah tanpa kita sedari.

3. Apa akan berlaku sekiranya panik berlaku sewaktu anda berada 15 meter di bawah permukaan air? Ada kemungkinan anda akan terus meluru naik ke permukaan dengan cepat, yang mana boleh mengakibatkan kecederaan akibat tekanan (barotrauma) dan “decompression illness”.

4. “Dive gear panic”, terutamanya untuk penyelam baru. Scuba diving gear yang sangat asing dan pelik dan tidak pernah kita gunakan boleh menjadi faktor untuk kita panik, sekiranya kita tidak tahu atau lupa apa fungsi dan bagaimana ia sepatutnya berfungsi dan digunakan.

Jadi untuk kes begini, saya tidak meluluskan beliau untuk mengambil kursus “open water diver”, tetapi saya melepaskannya untuk mencuba DSD “discover scuba diving” yang memang direka untuk mereka yang mengalami masalah begini. Jika beliau berasa selesa dengan DSD dan instruktor yang mengiringinya berasa beliau sesuai untuk teruskan, barulah beliau boleh mengambil lesen “open water”.

Klinik Sabah ialah salah sebuah klinik yang mempunyai kepakaran dalam bidang selam skuba. Hubungi kami untuk mendapatkan nasihat lanjut jika anda mempunyai persoalan tentang selam skuba.

Rugi bah kalau tinggal di Sabah, tapi tiada lesen scuba diving!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *