Ear syringing – satu cara mengeluarkan tahi telinga (earwax) di klinik
“Doc, telinga saya tersumbat dengan tahi telinga la… Tidak dapat dengar dengan bagus. Bole kasi cuci ka?”
Ini adalah antara aduan pesakit yang datang ke Klinik Sabah. Selalunya pesakit yang telinga mereka banyak menghasilkan tahi telinga, akan sampai satu tahap di mana mereka tidak dapat membersihkan telinga mereka dengan sempurna, walaupun sudah gunakan putik kapas (cotton buds).
Ini kerana, putik kapas yang mereka gunakan bukan lagi mengeluarkan tahi telinga tersebut, tetapi lebih menolaknya jauh ke dalam telinga.
Ini menyebabkan tahi telinga menyumbat lubang telinga dan boleh menyebabkan mereka tidak dapat mendengar dengan baik. Jika tahi telinga terlalu banyak, ia juga boleh menyebabkan telinga berasa sakit.
Rawatan untuk tahi telinga yang menyumbat lubang telinga ialah dengan cara “ear syringing”, iaitu menggunakan air yang dipancutkan ke dalam telinga dengan halaju tinggi dengan menggunakan picagari.
Jika tahi telinga kelihatan keras, kami selalunya akan menyuruh pesakit untuk titiskan ubat pencair tahi telinga beberapa hari sebelum mereka datang untuk dicuci telinga.