Awas serangan angin ahmar (Strok) – Punca, gejala dan cara mencegah

Tahukah anda strok/angin ahmar merupakan penyebab ketiga punca utama bagi kematian di Malaysia?

Pada tahun 2016, WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) menganggarkan terdapat 80.1 juta penghidap strok sedunia dengan kematian 6.2 juta setahun.

Statistik yang dianggarkan pun kita sudah tahu bahawa jutaan orang menderita setiap tahun disebabkan oleh strok. Namun, ada juga yang kurang mengambil berat berkenaan dengan penyakit ini. Mungkin atas sebab kekurangan sumber informasi atau pengetahuan yang betul berkenaan dengan penyakit ini. Jadi jom baca info yang betul!

Apa itu angin ahmar/strok?

Strok adalah keadaan apabila otak kehilangan bekalan darah sama ada disebabkan oleh pembuluh darah tersumbat (trombosis), pembuluh darah menyempit (stenosis) ataupun pembuluh darah pecah yang menyebabkan pendarahan dalam otak. Ada dua jenis strok, iaitu strok iskemia dan strok berdarah.

Strok Iskemia adalah satu keadaan dimana ianya berlaku apabila terdapat sekatan ataupun pengurangan aliran darah dalam arteri (salur darah) yang membekalkan darah ke bahagian otak.

Manakala strok berdarah ataupun strok hemoragik merujuk kepada berlakunya pendarahan dalam dan di sekeliling otak yang seterusnya menyebabkan berlakunya mampatan dan menyebabkan kecederaan pada tisu-tisu tersebut.

Apakah gejala-gejala yang timbul sekiranya anda terkena serangan strok?

• Kebas atau lemah secara tiba-tiba pada muka, lengan, ataupun kaki terutamanya jika hanya pada sebelah bahagian badan sahaja.
• Tiba-tiba sukar menelan.
• Mendadak kurang sedar, mengantuk, sukar bercakap atau memahami percakapan.
• Tidak dapat melihat sama ada dengan sebelah mata atau kedua-dua belah mata.
• Tidak stabil apabila berjalan, pening, hilang keseimbangan atau koordinasi.
• Sakit kepala yang teruk dan tidak diketahui puncanya, disertai dengan muntah dan mual.
•Gangguan emosi

gejala angin ahmar

Meskipun penyakit ni kelihatan agak serius, namun sebenarnya 80% dapat dicegah sekiranya setiap orang mengambil langkah bagi mengelak penyakit ini daripada berlaku.

Jadi apakah yang anda boleh lakukan sebagai langkah-langkah pencegahan?

• Kawal tekanan darah sekiranya kita mempunyai penyakit darah tinggi. Setiap hari, pantau tekanan darah dan makan ubat yang diberi. Jangan mengatur sendiri ataupun berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor.
• Berhenti merokok! Perokok terdedah kepada risiko serangan strok dua kali ganda berbanding bukan perokok.
• Kekalkan berat badan yang sihat.
• Diet sihat dan seimbang.
• Penghidap kencing manis perlu mengawal pengambilan gula secara optimum.
• Dapatkan pemeriksaan bagi degupan jantung yang tidak normal.
• Bersenam dan kekalkan gaya hidup aktif.
• Elak atau kurangkan pengambilan alkohol.

Pendek kata mencegah lebih baik daripada merawat. Sila jaga kesihatan anda dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan awal. Strok ini boleh menyerang pada bila-bila masa sahaja, sesiapa sahaja tidak kira usia. Jika anda mengalami gejala-gejala yang disenaraikan, sila dapatkan rawatan di Klinik yang terdekat dengan kadar yang segera.