Penggunaan ubat sewaktu bulan Ramadhan

Sempena bulan Ramadhan di mana semua umat Islam diwajibkan berpuasa, ada beberapa orang pesakit saya yang bertanya tentang ubat yang boleh membatalkan puasa.

Secara ringkasnya, salah satu perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuata benda ke dalam tubuh melalui rongga (hidung, tekak, mulut) dengan sengaja.

Oleh kerana ubat-ubatan yang diberikan kepada pesakit bukan sahaja melalui mulut, ada beberapa jenis ubat dan perawatan yang boleh membatalkan puasa.

Antaranya ialah:

  1. Ubat biji (tablet atau kapsul) yang dimakan
  2. Ubat minum (cecair) yang diminum
  3. Ubat sedut (inhaler)
  4. Pesari (ubat yang dimasukkan ke dalam faraj)
  5. Supositori/Enema (ubat yang dimasukkan ke dalam dubur)

Ini pula adalah ubat-ubatan yang tidak membatalkan puasa:

  1. Tablet sublingual dengan syarat diletak dibawah lidah dan tidak ditelan
  2. Ubat suntikan
  3. Ubat titis mata dan telinga (dengan syarat tidak sampai batas gegendang telinga
  4. Ubat sapu pada kulit
  5. Ubat kumur-kumur
  6. Ubat sembur hidung (dengan syarat tidak disedut)

Semoga puasa kali ini dipermudahkan. Selamat berpuasa!

3 sebab kenapa kita tidak boleh picit jerawat!

1. Ia akan membuat jerawat semakin teruk. Bila kita picit, ia akan menyebabkan bakteria dan minyak masuk jauh ke dalam kulit. Ini boleh menyebabkan jerawat semakin besar, merah, sakit dan lambat untuk sembuh.

2. Ia akan menyebabkan jerawat semakin bertambah banyak di tempat lain. Bakteria, minyak dan kulit mati yang keluar dari satu-satu jerawat boleh menyebabkan tumbuhnya beberapa jerawat yang baru.

3. Ia akan boleh menyebabkan parut (jeragat). Memicit dan memecahkan jerawat akan menyebabkan kawasan tersebut sembuh dengan menghasilkan parut (jeragat). Lagi besar jerawat yang dipicit, lebih besarlah lubang parut (jeragat) yang terhasil.

Jadi mau buat macamana la tu doktor?

Kasi biar tu jerawat sendiri pecah. Boleh juga sapukan krim Benzoyl Peroxide 5% yang boleh dibeli di farmasi berdekatan, untuk mengelakkan jerawat menjadi bertambah teruk.

Jika masalah masih berterusan, bolehlah berjumpa dengan doktor.

Info penting HFMD (Hand-Foot-And-Mouth-Disease) yang perlu anda tahu

Mungkin kamurang sudah dengar yang penyakit HFMD ni sudah meragut satu nyawa kanak-kanak di Sarawak. Mungkin ada yang tau, dan mungkin ramai juga yang tidak tau pasal penyakit HFMD ni.

Saya suka kongsikan maklumat penting ini supaya kita dapat mencegah dari anak-anak kita dijangkiti.

Penyakit HFMD disebabkan oleh virus yang dikenali sebagai enterovirus meliputi Coxsackie Virus A16 (Cox A16) dan Enterovirus 71 (EV 71).

Penularan penyakit/virus HFMD adalah melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh (blister) dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan permainan yang tercemar dengan virus HFMD.

Mereka yang dijangkiti akan menunjukkan satu atau lebih tanda seperti demam, luka (ulcer) di mulut, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki.

HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir jangkitan HFMD yang disebabkan oleh jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

Langkah pencegahan terbaik adalah menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Penularan jangkitan HFMD sangat berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran di mana ia mudah berlaku di tempat sesak serta mutu kebersihan yang rendah.

Ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak dengan gejala HFMD mendapatkan rawatan dan tidak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak.

Kebersihan diri dan persekitaran adalah amat penting untuk mencegah dari penyakit ini merebak.

Jika anak-anak anda mempunyai gejala-gejala yang disebutkan di atas, sila bawa mereka berjumpa doktor.

Hati-hati semasa membeli produk kecantikan online!

Memang sangat mudah untuk kita terpengaruh dengan iklan yang mempromosikan produk untuk kecantikan kulit sewaktu kita scroll FB page kita. Malah ada produk tersebut digunapakai oleh kawan-kawan kita sendiri dan mereka pun selalu pm kita untuk mencuba dan membeli produk mereka.

Dengan testimoni kawan kepada kawan-kawan kita tentang produk yang mereka promosikan, adalah agak sukar untuk kita kadang-kadang reject apa yang mereka kongsikan.

Tapi awas! Tak semua produk yang mereka gunakan untuk mencantikkan muka mereka adalah selamat dan mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk digunakan.

Ini kerana, ada produk yang mencampur adukkan produk mereka dengan bahan-bahan terkawal dan terlarang, semata-mata untuk keuntungan mereka sendiri.

Jika anda diapproach oleh penjual produk kosmetik, tanyakan kepada mereka adakah produk mereka telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Farmaseutikal.

Ada dua kemungkinan produk tersebut tidak mendapat kelulusan KKM:

1. Produk diimport terus dari luar negara yang mana tidak melalui KKM. Dibeli dari online store dari luar negara. Ada kemungkinan produk sebegini mengandungi bahan terkawal dan terlarang yang tidak boleh dibeli tanpa pengawasan doktor.

2. Produk yang diadun sendiri oleh empunya produk dari kilang di dalam Malaysia. Ada kemungkinan produk ini dicampur sendiri oleh mereka dengan bahan-bahan terkawal dan terlarang untuk meningkatkan keberkesanan produk mereka tanpa kesedaran yang ia mungkin memudaratkan jika tidak ada pengawasan doktor.

3 bahan terkawal yang selalu ditambah dalam produk kosmetik ialah hydroquinone (untuk pigmentasi), tretinoin (untuk jerawat) dan merkuri (untuk memutih).

Jadi, jika was-was, bagus jangan beli. Kalau tidak, merana kulit sendiri!

Kenapa saya suggest untuk jemaah umrah ambil suntikan influenza sebelum berangkat ke tanah suci Mekah?

Suntikan vaksin meningococcal adalah wajib untuk semua jemaah haji dan umrah. Kerajaan Arab Saudi tidak akan mengeluarkan visa untuk haji dan umrah sekiranya anda tidak mendapatkan suntikan meningococcal sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berangkat ke tanah suci.

Vaksin influenza adalah “optional” (pilihan) yang mana saya amat-amat sarankan untuk semua jemaah haji dan umrah selepas suntikan vaksin yang wajib.

Ini kerana, vaksin influenza akan memberikan badan kita kekebalan terhadap jankitan virus influenza yang mana ia termasuk H1N1 dan H2N3 yang mana simptom atau gejala yang ditunjukkan boleh juga menyerupai jangkitan MERS-CoV (Middle East respiratory syndrome coronavirus).

Golongan yang terdedah dengan risiko mendapat jangkitan influenza ini adalah:

1) ibu-ibu mengandung
2) kanak-kanak di bawah umur 5 tahun
3) golongan dewasa berumur 65 tahun ke atas
4) pekerja perubatan
5) mereka yang ada masalah penyakit seperti HIV/AIDS, asthma, kencing manis, masalah paru-paru kronik

Sekiranya anda tergolong di dalam senarai di atas dan bercadang untuk melancong ke luar negara (tak semestinya pergi ke tanah suci), adalah digalakkan untuk anda mendapatkan suntikan vaksin influenza.

Ia akan memberikan anda ketenangan ketika berada di perantauan. Tidaklah anda risau yang anda akan mudah dijangkiti batuk-batuk, selsema dan sakit tekak ketika jemaah lain melakukan ibadah!

Tahukah anda, dari mana istilah “kencing manis” tu datang?

Penyakit kencing manis atau diabetes mellitus ialah sejanis penyakit yang disebabkan oleh gangguan kawalan paras gula dalam darah. Apabila seseorang itu mengidap penyakit kencing manis, gula yang diambil dari makanan dan minuman tidak dapat diproses dalam darah oleh insulin kita dengan optimum.

Ini akan menyebabkan kandungan gula di dalam darah meningkat. Apabila gula di dalam darah meningkat, gula-gula ini akan mengganggu sistem penurasan pada buah pinggang, lalu menyebabkan buah pinggang “bocor” dan gula terlepas ke dalam air kencing.

Pada waktu dahulu, orang-orang yang mengalami kencing manis mendapati banyak semut mengerumuni air kencing yang tinggi kandungan gula mereka selepas mereka kencing di kamar mandi.

Apabila ini berlaku, akan lebih cepatlah seseorang yang mengalami kencing manis itu untuk mendapat kerosakan buah pinggang yang akhirnya boleh menyebabkan mereka perlu di dialisis untuk mencuci darah!

Hubungi kami di 010-9314190 untuk maklumat lanjut, bagaimana pemeriksaan saringan untuk kencing manis dilakukan.

Apakah gejala kalau saya ada masalah hormon thyroid doc?

Dua hari lepas ada seorang wanita (Miss Rina – bukan nama sebenar) berumur dalam lingkungan 20-an datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Beliau mengadu yang sejak sebulan kebelakangan ini, beliau kerap berasa gemuruh dan berdebar-debar tanpa sebab.

Kadang-kala beliau berasa tapak tangan berpeluh dan tangan bergetar (tremor).

Waktu malam tidur pun beliau mengadu berasa kepanasan, walaupun ada kipas.

Kadang-kala beliau juga susah tidur dan sedikit baran dengan rakan sekerja di pejabat.

Bila kita cek darah, beliau didapati mengidap masalah hormon tiroid yang berlebihan.

Gejala-gejala yang beliau adukan adalah masalah “typical” untuk pengidap penyakit tiroid sebegini.

Jika dibiarkan berlarutan, beliau boleh mengalami gejala yang lebih teruk seperti kurang berat badan dan insomnia.

Rawatan telah diberikan kepada Miss Rina dan rawatan susulan akan dilakukan untuk memantau paras hormon tiroid beliau sehinggs kembali ke aras yang normal dan gejala dihapuskan.

Anda juga boleh mengetahui aras hormon tiroid dengan melakukan pemeriksaan darah.

Doc, saya sakit perut, sembelit dan najis agak keras!

Baru tadi ada saturang auntie datang dari Kudat untuk berjumpa saya di klinik kerana masalah sakit perut. Beliau mengadu sakit perut selama lebih kurang 10 hari, sekali dengan masalah sembelit dan najis yang agak keras. “Bowel movement” atau pergerakan usus beliau juga agak lambat, dengan hanya pergi ke tandas setiap 3-4 hari sekali untuk membuang air besar.

Namun begitu, beliau masih lagi boleh “buang angin (kentut)” dan tidak ada muntah-muntah. Selera makan beliau juga agak kurang kerana berasa perut cepat penuh “fullness sensation” walaupun makan sedikit sahaja.

Auntie ini mengalami masalah sembelit kerana tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang, iaitu kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dan mungkin makan makanan berprotein tinggi yang agak banyak.

Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah sumber serat yang bagus untuk proses penghadaman. Ini kerana, kandungan serat yang tinggi boleh mempercepatkan proses pencernaan di usus kecil dan besar dan memudahkan untuk najis diubah menjadi lebih berpepejal supaya mudah dikeluarkan.

Selain dari itu, ada kemungkinan juga yang bakteria baik di dalam usus beliau tidak seimbang, lalu menyebabkan najis tersebut “stagnant” di dalam usus. Pengambilan minuman yang mengandungi probiotik boleh mengembalikan semula bakteria baik di dalam usus untuk menjadikan persekitaran usus seimbang. Ini akan membantu proses pencernaan dan penghadaman makanan yang baik.

Beliau telah diberikan ubat-ubatan untuk melembutkan najis dan dinasihatkan untuk makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan untuk melancarkan pergerakan usus dan elakkan dari sembelit.

Kenapa saya tidak dengar ni doc, especially kalau ada orang panggil dari jauh?

Tadi ada seorang pesakit datang ke klinik untuk masalah pendengaran. Seorang perempuan muda berumur 20an, datang mengadu susah untuk mendengar orang bercakap dan memanggil nama beliau dari jauh.

Bila ditanya, rupa-rupanya beliau sangat suka mendengar muzik melalui earphone dengan kuat, semenjak 7 tahun yang lalu. Maksudnya telinga beliau telah terdedah dengan bunyi yang kuat dari beliau bersekolah rendah!

Masalah begini adalah biasa bagi mereka yang suka mendengar muzik melalui earphone. Adalah lebih teruk jika mereka mendengar earphone sehingga tertidur, yang mana gegendang, tulang-tulang kecil dalam telinga dan koklea bekerja keras untuk memproses bunyi yang masuk, walaupun kita sudah tidak dengar sebab sudah tertidur.

Pendedahan kepada bunyi kuat yang berpanjangan adalah salah satu faktor terpenting penyebab kepada kehilangan keupayaan mendengar. Jika tidak dihentikan pendedahan kepada bunyi bising ini, ia boleh menyebabkan keupayaan mendengar kita semakin teruk, dan boleh mengganggu komunikasi kita dengan orang lain.

Satu ujian audiogram telah dijalankan kepada beliau dan didapati beliau telah mendapat kekurangan pendengaran tahap “mild to moderate” pada telinga sebelah kiri dan “mild hearing loss” pada sebelah kanan.

Line merah untuk telinga kanan dan line biru untuk telinga kiri sepatutnya berada pada atas paras 30dB untuk pendengaran yang normal. Sekiranya line tersebut turun lebih jauh ke bawah, ia bermaksud lebih teruklah kehilangan pendengaran kita.

Beliau telah dinasihatkan untuk tidak lagi menggunakan earphone dengan kuat dan jika masalah pendengaran beliau mengganggu komunikasi dengan orang lain (contohnya, lain yang dicakap orang, lain yang beliau faham), maka beliau perlukan alat bantu pendengaran untuk memudahkan komunikasi.

Boleh hubungi kami di 010-9314190 untuk buat test audiogram – bila mama ko panggil dari dapur, tapi tidaaaak juga ko pandai mendengar!😂

3 Perkara yang boleh menunjukkan yang kita ada masalah pendengaran

Kelmarin ada seorang pakcik datang ke klinik untuk masalah pendengaran. Dia mengadu susah mau faham orang lain cakap bila minum kopi di restoran yang ramai pengunjung. Malah, kadang-kala dia berselisih faham dengan isterinya kerana dia tidak dapat mendengar suara isterinya dengan jelas sewaktu di rumah.

Bila ditanya, rupanya beliau seorang pekerja am yang mengendalikan enjin diesel untuk sebuah stesen janakuasa elektrik selama lebih kurang 10 tahun. Walaupun dia sentiasa memakai “Personal Protective Equipment” PPE, beliau masih lagi terdedah dengan bunyi bising yang berpanjangan. Pendedahan inilah yang telah menyebabkan beliau mengalami masalah pendengaran.

Masalah sebegini amat kerap saya jumpa di klinik. Selalunya mereka akan datang mengadu apabila terjadinya masalah komunikasi dengan orang lain, disebabkan pesakit tidak boleh mendengara apa yang diperkatakan. 3 perkara ini amat biasa berlaku:

1) Tidak boleh mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan oleh orang lain, terutama sekali bila yang bercakap adalah orang perempuan. Kadang kala, mereka juga tidak boleh faham apa yang dicakapkan sewaktu berbual-bual dengan kawan-kawan di dalam restoran yang agak bising.

2) Terpaksa meminta orang lain untuk mengulang balik apa yang mereka cakapkan atau sentiasa bertanya “Aah? Apa dia?” berulang kali dan terpaksa mendekatkan telinga dengan orang yang bercakap setiap kali berbual-bual.

3) Jika suami isteri, si suami akan selalunya buat perkara yang lain dari yang disuruh isteri atau faham lain dari apa yang isteri perkatakan. Ini kerana si suami tidak boleh mendengar dengan jelas apa yang dituturkan oleh isteri.

Jika anda perasan keadaan ini di dalam ahli keluarga anda, ada kemungkinan mereka mengalami masalah pendengaran. Ujian audiogram perlu dilakukan untuk mengetahui tahap keterukan pendengaran supaya mereka dapat dibantu dengan alat bantu pendengaran.