Apa beza sakit tonsil yang biasa dengan difteria doc?

Dalam 1-2 minggu lepas kita digemparkan dengan kematian seorang kanak-kanak di negeri Johor akibat penyakit difteria, yang mana ia adalah satu penyakit yang mudah untuk dicegah dengan vaksin. Bila diselidik, rupa-rupanya kanak-kanak tersebut tidak diberikan suntikan vaksin imunisasi DPT oleh ibunya sewaktu kecil.

Penyakit difteria ini mempunyai gejala awal yang lebih kurang sama dengan penyakit tonsilitis seperti demam, sakit tekak, batuk dan sakit seluruh badan.

Namun, perbezaan ketara difteria ialah adanya lapisan tebal membran kekelabuan pada kawasan tekak dan tonsil, bersama-sama dengan kesukaran bernafas dan bengkak kelenjar.

Jika ia tidak dirawat dengan cepat, ia boleh menyebabkan kematian.

Yang bagusnya di Malaysia, kanak-kanak berumur di bawah 1 tahun yang menerima vaksin imunisasi difteria dari klinik-klinik kerajaan akan dilindungi dari jangkitan ini kerana mereka telah mempunyai imuniti yang cukup.

Berbanding dengan tonsilitis, ia adalah jangkitan kuman virus yang agak biasa menyerang bahagian tekak dan tonsil kita, dan pada kebanyakan masa ia adalah diakibatkan oleh jangkitan kuman virus.

Tonsil akan membengkak dan sakit apabila menelan, tetapi ia tidak mempunyai lapisan tebal kekelabuan seperti penyakit difteria.

Rawatan yang biasa diberi adalah untuk mengurangkan simptom akibat jangkitan virus tersebut dan antibiotik tidak diperlukan. Ini kerana imuniti badan kita akan dapat melawan virus tersebut.

Namun jika jangkitan berlarutan lebih 4-5 hari dan tonsil semkain besar dan tekak mengeluarkan kahak, ada kemungkinan jangkitan bakteria telah berlaku. Sila berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjutan seperti antibiotik yang sesuai untuk mengelakkan dari menjadi lebih teruk.

Rehat yang cukup, minum air kosong yang banyak, elakkan dari makan makanan yang pedas dan elakkan minum minuman sejuk berais boleh membantu mempercepatkan proses penyembuhan penyakit tonsilitis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *