Masalah telinga pada kanak-kanak

Tahukah anda, kanak-kanak lebih cenderung untuk mendapat jangkitan telinga berbanding dewasa kerana tiub eustachian mereka lebih kecil?

Di Malaysia, dianggarkan sekurang-kurangnya setengah juta kes jangkitan telinga tengah berlaku dalam setahun dalam kalangan kanak-kanak dan kebanyakkan mereka mendapat jangkitan sekurang-kurangnya 1 jangkitan telinga sebelum berusia 2 tahun.

Simptom jangkitan telinga pada kanak-kanak

Jenis-jenis jangkitan telinga

Jangkitan telinga tengah yang juga dikenali sebagai otitis media merupakan jangkitan yang biasa berlaku apabila virus, bakteria atau kulat menyerang tiub eustachian. Otitis media ini boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu:

1) Otitis media akut – Jangkitan ini berlaku apabila bahagian tengah telinga dijangkiti dan menyebabkan ianya bengkak akibat pengumpulan di bahagian belakang gegendang telinga. Kanak-kanak akan rasa sakit lalu demam.

2) Otitis media berefusi – Selalunya keadaan ini berlaku apabila masih terdapat cecair terperangkap di bahagian belakang gegendang telinga selepas jangkitan biasa. Namun ini hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan telinga tengah kerana jarang menimbulkan gejala yang boleh dikenalpasti.

3) Otitis media berefusi yang kronik – Keadaan dimana terdapat lelehan dari telinga secara berterusan sekurang-kurangnya 3 minggu. Meskipun jangkitan ini selalunya tidak menyakitkan dan menyebabkan keradangan, namun jika dibiarkan begitu sahaja, kanak-kanak yang menghidap jangkitan ini boleh meninggalkan kesan sampingan dan menjejaskan pendengaran mereka.

Selain jangkitan bahagian tengah telinga, bahagian saluran luar telinga juga boleh dijangkiti dan jangkitan ini juga dikenali sebagai otitis externa.Kebiasannya jangkitan ini berlaku kepada mereka yang kerap berenang.

Kenapa pentingnya jangkitan ini dirawat?

Walaupun jangkitan dalam telinga pada kanak-kanak ini tidak membawa komplikasi jangka masa panjang, namun kalau dibiarkan begitu sahaja, ianya boleh membawa kepada komplikasi yang lebih serius seperti rosak pendengaran lalu mengakibatkan perkembangan dan pertuturan yang lambat.

Apakah yang perlu dibuat jika anak anda dikhuatiri mendapat jangkitan telinga?

Perkara pertama yang anda perlu buat ialah dapatkan nasihat dan rawatan awal daripada doktor jika anak anda menunjukkan simptom-simptom jangkitan awal seperti kesakitan dalam telinga, selalu merentap dan menarik cuping telinga, nanah keluar daripada telinga, lelehan hidung, demam, kerap menangis, bau busuk dari telinga dan ada masalah pendengaran.

Untuk rawatan, kebiasannya ubat titis telinga akan diberi jika nanah keluar dari telinga. Ubat mencairkan kahak dan ubat sakit demam juga akan diberi. Jika jangkitan disebabkan oleh bakteria, doktor akan memberikan antibiotik. Jika jangkitan telinga kerap berulang lagi selepas mendapat rawatan, kemungkinan ianya disebabkan oleh alahan dan ianya perlu dirawat mengikut puncanya.

Namun adalah lebih baik jika anda mencegah jangkitan ini sebelum ianya berlaku pada anak-anak anda. Antara cara pencegahan ialah dengan mengamalkan kebersihan bagi mencegah selesema dan penyakit lain. Ajar anak anda untuk membasuh tangan lebih kerap dan jauhkan anak anda daripada asap rokok.

Selain itu elakkan juga daripada penggunaan puting dan penyusuan botol semasa baring. Vaksinasi juga boleh mencegah jangkitan telinga. Vaksin pneumococcal berkonjugat sangat berkesan menentang beberapa strain bakteria yang menyebabkan jangkitan telinga. Sila dapatkan khidmat nasihat daripada doktor tentang vaksin yang sesuai untuk anak anda.

Selalu ingat “pencegahan lebih baik daripada merawat”

Sumber:

  1. Portal MyHealth – Jangkitan telinga
  2. My Positive parenting – Jangkitan telinga: Mencegah lebih baik
  3. The Asian Parent – Jangkitan telinga kanak-kanak

#klniksabah

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *