2 Kerosakan utama organ badan bila tak control tekanan darah
Beberapa hari lepas ada seorang abang berumur dalam lingkungan 40an datang untuk masalah demam, batuk dan selsema. Bila diperiksa, didapati tekanan darah beliau agak tinggi.
Untuk pengetahuan, tekanan darah yang normal ialah 120/80mmHg. Apa-apa juga bacaan tekanan darah 140/90mmHg atau lebih memerlukan rawatan untuk merendahkan tekanan darah tersebut, kerana jika dibiarkan, tekanan darah boleh mengakibatkan komplikasi yang buruk.

Tekanan darah beliau adalah 175/107mmHg yang mana memang tinggi. Walaupun kadang-kadang tekanan darah boleh tinggi disebabkan sakit, ia tidak sepatutnya begitu tinggi.
Jika beliau tidak kembali berdisiplin untuk mengambil ubat darah tinggi, kerosakan (komplikasi) boleh berlaku kepada organ-organ dalaman, antaranya adalah:
1) Salur darah tersumbat menyebabkan serangan jantung dan angin ahmar
Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan kerosakan pada lapisan dalam arteri dan mengakibatkan lelemak yang berada di dalam salur darah berkumpul. Ini akan menyebabkan pengerasan salur darah dan penebalan salur darah. Salur darah yang mengeras dan penuh dengan pengumpulan lelemak ini akan menyempit dan akhirnya menyumbat salur darah tersebut. Jika penyumbatan berlaku pada salur darah di jantung, ia boleh mengakibatkan serangan jantung dan jika penyumbatan berlaku di salur darah di otak, angin ahmar boleh berlaku.
2) Kerosakan pada buah pinggang
Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan buah pinggang kita tertekan. Tekanan pada salur-salur darah yang besar di luar buah pinggang dan salur-salur darah kecil dan mikro di dalam buah pinggang boleh menyebabkan fungsinya untuk meng”filter” kekotoran dari dalam darah terganggu. Jika dibiarkan, buah pinggang yang rosak ini tidak dapat digunakan dan proses penyingkiran hasil buangan dari dalam darah perlu dilakukan dengan hemodialisis.


