Apakah perbezaan antara sakit kepala dan migraine?
Tadi ada seorang remaja perempuan berumur 17 tahun datang ke klinik, mengadu sakit kepala yang semakin teruk semenjak 2-3 minggu kebelakangan ini.
Sebenarnya sakit kepala beliau telah bermula lebih kurang dua tahun yang lalu, namun ia tidaklah kerap. Dalam kebanyakan masa, sakit kepala boleh hilang dengan makan panadol. Kadang-kala beliau berasa loya dan tidak boleh tidur malam disebabkan sakit.

Semenjak 2-3 minggu kebelakangan ini, sakit kepala beliau semakin teruk. Beliau telah diberikan ubat migraine dan ubat tahan sakit, namun gejala sakit kepala tersebut tidak juga hilang.
Sakit kepala yang sebegini berkemungkinan disebabkan oleh migraine. Migranie selalunya menyerang wanita, mereka yang mempunyai sejarah migraine dalam keluarga dan ada kemungkinan mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti kemurungan dan kerisauan.
Sehingga sekarang, kita masih lagi belum menjumpai sebab-sebab migraine, tetapi kita tahu ada beberapa perkara yang boleh “trigger” serangan migraine, contohnya stress, pertukaran hormon pada wanita, kerisauan dan persekitaran yang bising.
Sesetengah pesakit migraine juga akan mengadu fasa “prodome” iaitu 24 sebelum sakit kepala migraine datang, mereka boleh rasakan tanda-tanda awal seperti pertukaran “mood” dan selera makan yang berubah.
Ada juga serangan migraine dengan “aura” – iaitu boleh ternampak seperti ada bintang-bintang atau cahaya yang terang sewaktu sakit kepala berlaku.
Dan apabila sakit kepala berlaku, ia boleh berlaku pada sebelah kepala (kiri atau kanan), kadang-kala rasa berdenyut-denyut dan rasa loya. Ada juga yang akan rasa sensitif terhadap bunyi bising dan cahaya yang terang.
Apabila berjumpa dengan doktor, selalunya doktor akan berikan ubat untuk migraine dan akan dinasihatkan untuk cuba kurangkan faktor risiko serangan migraine seperti mengawal stress dan amalkan gaya hidup sihat.
Oleh kerana masalah migraine beliau tidak berjaya dirawat dengan ubat, beliau telah dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.