5 Komplikasi yang boleh berlaku apabila kolesterol tinggi dalam darah
Kita tahu bahawa kolesterol ini banyak manfaat kepada tubuh badan. Selain daripada membantu organ badan kita berfungsi dengan baik ianya juga membantu dalam penghasilan hormon, vitamin dan bahan pencernaan badan. Namun begitu, jika tahap kolesterol dalam darah tidak di kawal maka ianya akan menyebabkan timbulnya masalah-masalah kesihatan yang tidak diingini. Terdapat beberapa komplikasi yang kemungkinan berlaku akibat tahap kolesterol tinggi dalam darah.
1) Masalah kardiovaskular
Ini adalah komplikasi yang anda kebiasaannya dengar apabila terdapat kolesterol tinggi dalam darah iaitu masalah yang melibatkan jantung dan otak. Apabila terlalu banyak kandungan kolesterol buruk, ia boleh menyempitkan saluran darah anda. Akibat penyempitan saluran darah tersebut, darah tidak dapat mengalir dan hati perlu berkerja keras untuk menolak darah supaya dapat melalui laluan saluran yang sempit. Plak-plak kolesterol yang terus bertambah pada saluran darah menyebabkan darah yang mengandungi oksigen tidak dapat dihantar ke otot jantung. Apabila ini berlaku, anda berisiko untuk mendapat penyakit angina iaitu gangguan sementara aliran darah ke jantung.
Jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja, apabila plak kolesterol ini pecah ianya akan menyekat laluan darah sepenuhnya ke jantung anda dan pada masa itulah anda akan terkena penyakit serangan jantung. Sekiranya ini berlaku pada saluran darah ke otak atau di dalam otak, ia boleh menyebabkan strok/angin ahmar.
Selain itu, plak kolesterol ini juga boleh menyekat aliran darah ke arteri yang membekalkan darah ke saluran usus da seluruh kaki anda sehingga menyebabkan penyakit yang dinamakan sebagai penyakit vascular peripheral.
2) Masalah endokrin
Sebenarnya hormon seperti estrogen dan progesteron ini dihasilkan melalui kelenjar penghasil hormon menggunakan kolesterol dalam badan. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa paras estrogen naik semasa kitaran haid wanita, paras kolesterol baik (HDL) akan meningkat manakala paras kolesterol buruk (LDL) akan menurun. Apabila tibanya menopaus, paras estrogen menurun dan ini menyebabkan paras kolesterol buruk meningkat. Mungkin ini sebabnya mengapa wanita mendapat risiko penyakit jantung selepas menopaus.
Jika terdapat kolesterol yang berlebihan dalam badan, selalunya ianya akan disingkirkan oleh hormon tiroid. Jika hormon tiroid and tidak dibekalkan secukupnya, maka ianya tidak akan dapat menyingkirkan kolesterol buruk dalam badan dan ini akan menyumbang kepada pengumpulan plak kolesterol yang banyak dalam badan anda. Ini secara tidak langsung menyebabkan risiko penyakit jantung.
3) Masalah sistem penghadaman
Dalam sistem pencernaan, cecair hempedu yang membantu badan anda memecahkan makanan dan menyerap nutrien dalam badan dihasilkan oleh kolesterol. Namun begitu, jika kolesterol terlalu banyak dalam hempedu, bahan yang berlebihan akan menjadi kristal dan kemudiannya menjadi batu keras dalam pundi hempedu anda.
Batu hempedu ini juga dikenali sebagai “gallstones” dan ianya sangat menyakitkan.
4) Masalah mati pucuk
Bagaimanakah kolesterol tinggi ini menyebabkan masalah mati pucuk pula? Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan mati pucuk dan salah satu penyebab utama masalah ini adalah aterosklerosis, iaitu penyumbatan saluran darah yang disebabkan oleh kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah. Jadi adalah lebih baik untuk anda menjalankan ujian kolesterol untuk mengesahkan anda menghidap kolesterol tinggi atau sebaliknya sebagai pencegahan awal.
5) Masalah sistem saraf
Kolesterol juga merupakan komponen yang penting dalam otak manusia untuk perkembangan dan perlindungan sel saraf yang menghubungkan otak dengan seluruh badan. Walau bagaimanapun, kandungan kolesterol yang berlebihan dalam saluran darah akan menyebabkan strok yang mengakibatkan kehilangan ingatan, pergerakan, keukaran menelan, bercakap serta fungsi lain. Selain itu kolesterol tinggi mempercepat penghasilan plak beta-amyloid iaitu sejenis protein yang merosakkan otak pada pesakit yang mengalami penyakit Alzheimer (penyakit nyanyuk).

Jadi, bagi mengelakkan masalah-masalah ini terjadi, adalah amat disarankan untuk melakukan ujian kolesterol supaya anda tahu tahap kolesterol berada di tahap mana. Sayangilah badan anda ok!