Musim haji bakal datang lagi tahun ini. Mereka yang telah berdaftar dengan Tabung Haji dan terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini telah pun menerima surat tawaran untuk mengerjakan haji pada bulan lepas.
Mereka yang menerima tawaran menunaikan haji perlu menjalani pemeriksaan kesihatan penuh dari klinik kesihatan kerajaan atau swasta untuk memastikan yang mereka cukup sihat untuk mengerjakan haji.
Ini kerana hampir semua rukun haji memerlukan kekuatan fizikal yang sihat untuk menyempurkannya. Jika kita tidak mempunyai kesihatan yang bagus (contohnya pesakit buah pinggang), besar kemungkinan ibadah haji tersebut tidak dapat disempurnakan.
Untuk memastikan kesihatan jemaah berada dalam keadaan terbaik, kerajaan Arab Saudi juga telah mewajibkan vaksin meningococcal untuk semua bakal jemaah haji dan umrah. Sijil pengesahan penerimaan vaksin tersebut perlu didapati dari klinik-klinik kesihatan swasta yang menawarkan vaksin tersebut.
Visa haji dan umrah hanya akan dikeluarkan selepas bakal jemaah mengemukakan sijil pengesahan tersebut kepada Tabung Haji. Dengan vaksin ini, bakal jemaah akan dilindungi dari risiko mendapat jangkitan radang otak, yang mana agak tinggi risikonya ketika melakukan haji dengan jutaan manusia dari seluruh dunia.
Vaksin kedua yang disyorkan, walaupun tidak wajib ialah influenza, yang mana ia adalah penyakit yang boleh menyebabkan demam, selsema dan radang paru-paru, lebih-lebih lagi untuk jemaah yang berumur 65 tahun ke atas. Gejala utama yang biasa dihadapi ialah batuk-batuk yang berpanjangan dan boleh mengganggu ibadah haji.
Vaksin ketiga pula ialah pneumococcal, yang mana jangkitannya boleh menyebabkan keradangan otak, radang paru-paru dan jangkitan kuman dalam darah. Walaupun tidak wajib, ia amat disarankan untuk jemaah yang mempunyai penyakit kronik dan berumur 65 tahun ke atas.